BERITA SEMASA

Covid-19: 234 PPV tersedia di Klinik Kesihatan seluruh negara

KUALA LUMPUR – Sebanyak 234 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan di Klinik Kesihatan di seluruh negara sehingga kini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemas kini maklumat berkenaan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat pertambahan atau perubahan bilangan PPV.

“Bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, orang ramai boleh hadir ke PPV yang tersenarai secara walk-in atau membuat janji temu menggunakan aplikasi MySejahtera sebagaimana tatacara tempahan yang dibuat semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.

“KKM ingin menegaskan bahawa pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini adalah secara sukarela. KKM menggalakkan pengambilan vaksin Covid-19 terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dzulkefly, vaksin Covid-19 yang tersedia di negara ini berkesan untuk melindungi daripada komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM turut menyarankan setiap warga Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk melindungi diri daripada jangkitan dan tidak menularkan Covid-19 kepada orang lain.

“Amalkan 3W (Wash, Wear dan Warn) dan mengelakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat),” katanya lagi.

Amalan 3W adalah kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan amaran supaya berjaga-jaga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button