BERITA SEMASADALAM NEGERI

Isu waktu kerja syif jururawat 45 jam seminggu: KKM minta tempoh sebulan lagi

PUTRAJAYA – Ketetapan mengenai isu tempoh waktu kerja syif 45 jam seminggu dalam kalangan jururawat akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya kini berada di peringkat akhir untuk membuat keputusan tersebut namun memerlukan sedikit lagi masa untuk membuat kata putus demi keseimbangan antara tugas dan kehidupan peribadi.

“Saya tidak boleh membuat satu keputusan tanpa benar-benar menyelami 360 darjah terhadap semuanya dan memahami program kejururawatan dengan terperinci.

Dr. Dzulkefly perlukan masa sebelum memuktamadkan keputusan tersebut yang akan dibentangkan kepada Kabinet pada 1 Julai depan.

“Perbezaan kumpulan, perbezaan beban kerja, tetapan di kesihatan awam, hospital dan sebagainya, saya yakin kita sudah sampai ke peringkat untuk membuat ketetapan yang betul.

“Bagaimanapun, saya memohon tempoh sebulan lagi untuk memuktamadkan semuanya,” kata Dr. Dzulkefly kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bidan dan Jururawat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara, di sini hari ini.

Tambah beliau, walaupun keputusan mengenai perkara itu boleh dilaksanakan tetapi ia menuntut pertimbangan dan keprihatinan bagi memastikan bidang kejururawatan benar-benar mengekalkan keseimbangan budaya kerja.

“Sesi libat urus di seluruh negara mengenai isu ini juga sudah selesai.

“Kita akan bentangkan satu proposal menyeluruh mengenai waktu kerja syif 45 jam ini kepada Kabinet pada 1 Julai depan kerana ia perlu mendapat kelulusan di peringkat tertinggi,” katanya lagi.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan tempoh interim selama tiga bulan mulai 1 Disember 2024 hingga 28 Februari 2025 bagi membuat persediaan ke arah pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam di KKM.

Bagaimanapun, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) turut membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan waktu bekerja tersebut dengan menyifatkan ia sebagai tidak adil untuk membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa.

Sementara itu, pada majlis itu juga, Dr. Dzulkefly mengumumkan pelancaran Edisi Ke-4 Standard Criteria for Accreditation of Nursing Programme 2025.

Katanya, garis panduan itu ditambah baik bagi memenuhi keperluan semasa dan menyokong piawaian latihan kejururawatan yang lebih tinggi.

Tambahnya, pada tahun ini juga Malaysia telah menjadi tuan rumah ASEAN Joint Coordinating Committee on Nursing (AJCCN) Ke-40.

“Mesyuarat ini menghimpunkan pemimpin kejururawatan dari 10 negara ASEAN untuk membincangkan usaha memperkukuh pendidikan, kepimpinan dan mobiliti kejururawatan serantau.

“Ia selaras dengan penemuan utama laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertajuk State of the World’s Nursing Report 2025.

“Antara agenda yang telah dibincangkan termasuklah penyelarasan piawaian kompentensi, pembangunan profesiobal berterusan (CPD) serta pengukuhan kerjasama pengawalseliaan kejururawatan serantau,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Indera Dr. Nor Azimi Yunus; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Kejururawatan, Gowry Narayanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button