
Sistem kesihatan negara berisiko lumpuh jika cadangan kerja 45 jam diteruskan
KUALA LUMPUR – Cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah waktu kerja mingguan kepada 45 jam bagi petugas kesihatan awam disifatkan sebagai langkah yang tidak sensitif dan amat berisiko.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam, menegaskan pelaksanaan cadangan itu mampu mencetuskan gelombang peletakan jawatan yang lebih besar dalam kalangan jururawat dan pegawai perubatan.
“Saya menyokong penuh kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengenai situasi kritikal kekurangan jururawat.
“Lebih 6,900 petugas telah meletakkan jawatan sejak 2020. Ini jelas menunjukkan tekanan yang dihadapi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, beban kerja tambahan tanpa imbuhan setimpal atau penyelesaian terhadap isu kebajikan akan hanya membunuh semangat dan moral petugas kesihatan yang kini berada pada tahap paling rendah.
“Saya ingin beri amaran tegas jika pelaksanaan ini diteruskan, JPA harus bersedia menanggung akibatnya.
“Sistem kesihatan negara boleh lumpuh dan rakyat akan menjadi mangsa. Jangan sesekali menuding jari apabila keadaan menjadi lebih parah,” tegasnya.
Baca juga : KKM akui negara berdepan isu kekurangan jururawat
Baca juga : Isu waktu kerja syif jururawat 45 jam seminggu: KKM minta tempoh sebulan lagi
Tegas Lingeshwaran lagi, suara-suara dari lapangan, termasuk persatuan jururawat dan kesatuan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menunjukkan penolakan yang jelas terhadap cadangan ini.
Apa yang diperlukan, katanya, bukanlah lebih banyak jam bekerja, tetapi lebih banyak penghargaan, insentif dan sokongan untuk memastikan petugas kesihatan terus berkhidmat dengan dedikasi
.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |