BERITA SEMASAGAYA HIDUP

Pemeriksaan berkala kunci cegah awal penyakit jantung – IJN

KUALA LUMPUR – Penyakit jantung kekal menjadi pembunuh utama di Malaysia serta rantau Asia Tenggara, sekali gus menuntut kesedaran masyarakat untuk mengutamakan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai langkah pencegahan awal.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Akmal Arief Mohamed Fauz berkata, walaupun ramai sedar mengenai kepentingan gaya hidup sihat, mengamalkannya secara konsisten masih menjadi cabaran.

Menurutnya, kesedaran, pendidikan dan sokongan komuniti memainkan peranan besar dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat penyakit kardiovaskular.

“Kesedaran orang ramai dan amalan gaya hidup sihat amat penting kerana penyakit jantung masih merupakan pembunuh utama di Malaysia dan juga di rantau Asia Tenggara.

“Sebagai sebuah institusi yang berkait rapat dengan jantung, peranan kami bukan sekadar menyediakan rawatan terbaik malah menawarkan aspek pendidikan dan langkah pencegahan dari awal,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 di The Curve, Mutiara Damansara bermula 24 September lalu selama lima hari yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung.

Jantung
Pelbagai aktiviti menarik berkaitan diadakan Institut Jantung Negara sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 di The Curve Mutiara Damansara bermula 24 September selama lima hari.

Program itu bertemakan It’s Not Just A Game, It’s About Your Heart dengan sokongan rakan strategik seperti Blackmores, Nestle Omega Plus, Ogawa dan Mamee.

Bagi menggalakkan kesedaran orang ramai, IJN turut menyediakan pemeriksaan jantung percuma termasuk Electrocardiogram (ECG) dan Echocardiogram (ECHO) dengan bimbingan pakar.

Demonstrasi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR), cabaran kecergasan, zumba, permainan interaktif serta pertandingan memasak sihat turut diadakan.

Mengulas lanjut, Akmal Arief mengakui amalan merokok, diet tidak seimbang dan kurang aktiviti fizikal memerlukan masa serta komitmen berterusan untuk diubah.

Menurut beliau, IJN menawarkan klinik berhenti merokok dan program pemakanan sihat bagi membantu masyarakat memulakan inisiatif bermakna.

“Kerajaan telah memperkenalkan larangan merokok di tempat awam dan pelbagai kempen kesihatan untuk kesedaran masyarakat yang memerlukan masa dan usaha berterusan.

“Justeru, masyarakat perlu mengambil peluang menghadiri program seperti Hari Jantung Sedunia bukan sekadar untuk hiburan namun sebagai satu langkah permulaan ke arah perubahan gaya hidup.

“Kita perlu menjaga kesihatan jantung sebagai satu habit dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan membuat pemeriksaan awal.

“Orang ramai boleh mengambil peluang daripada program seperti ini di mana sambil membeli-belah di hujung minggu, dapat singgah untuk mendapatkan pemeriksaan atau belajar sesuatu yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button