Polis Kelantan perjelas isu serbuan perjumpaan LGBT
KOTA BHARU – Serbuan terhadap satu perjumpaan melibatkan komuniti LGBT di sebuah banglo bulan lalu dilakukan berasaskan maklumat risikan yang sah dan bukan bermotifkan diskriminasi terhadap mana-mana pihak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, maklumat awal yang diterima mendapati satu perjumpaan serta pesta gay dirancang diadakan di sebuah kediaman di Kota Bharu.
“Risikan oleh Pasukan Task Force PDRM Kelantan mendapati jemputan ke program itu disebarkan dalam kumpulan WhatsApp tertentu, menggunakan tajuk Program Gathering Komuniti Majlis Malam Mesra Komuniti & Santai-Santai, dan disertakan dengan agenda ‘chill-chill membawang dan makan-makan’,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati tiada bukti menunjukkan program tersebut mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana badan rasmi seperti NGO, Klinik Kesihatan atau Kementerian Kesihatan (KKM).
Tambah beliau, pemantauan dilakukan sejak jam 5 petang dan mendapati kira-kira 100 individu hadir ke lokasi, namun kebanyakannya sudah meninggalkan premis menjelang jam 11 malam.
“Serbuan dilakukan sekitar jam 1 pagi demi menjaga keselamatan awam dan memastikan operasi terkawal. Ketika serbuan, seramai 20 lelaki berada di dalam premis dan mengaku mereka adalah daripada komuniti gay.
“Turut ditemui adalah ratusan kondom serta beberapa kotak ubat HIV di salah sebuah bilik,” katanya lagi.
Hasil pemeriksaan mendapati 18 daripada 20 individu itu berasal dari Kelantan, manakala dua lagi dari Perak dan Terengganu.
Pemeriksaan ke atas telefon bimbit mendapati tiga individu memiliki bahan lucah membabitkan hubungan sejenis.
“Kesemua mereka telah didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan telah mengaku bersalah. Ada juga antara mereka mengaku terlibat dengan aktiviti seks sejenis,” katanya lagi.
Mohd Yusoff berkata, tujuan utama serbuan adalah bagi memastikan ketenteraman awam serta memelihara nilai moral masyarakat.
“PDRM berharap penjelasan ini dapat meredakan kekeliruan dan spekulasi yang timbul.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta terus memberikan kerjasama demi keharmonian negeri ini,” katanya lagi.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan melalui platform X bahawa program berkenaan merupakan program kesedaran kesihatan berkaitan HIV.
Bagaimanapun, KKM tidak mengulas lanjut berkenaan operasi serbuan yang dijalankan pihak polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















