BERITA SEMASA

Inisiatif pamer harga ubat diterus bermula 1 Ogos – KKM, KPDN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat secara berperingkat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti yang bermula Jumaat lalu.

Dalam kenyataan bersama semalam, kedua-dua kementerian menjelaskan inisiatif itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 [P.U.(A) 141/2025] di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang telah bermula sejak 1 Mei lalu.

Menurut kenyataan itu, pendekatan awal penguatkuasaan berbentuk pendidikan telah dilaksanakan sepanjang tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan iaitu dari 1 Mei hingga 31 Julai.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 842 fasiliti kesihatan seperti klinik perubatan, pergigian, hospital swasta dan farmasi komuniti telah diperiksa dengan 57 peratus daripada jumlah tersebut mematuhi keperluan pemaparan harga ubat dengan tahap memuaskan,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, penguatkuasaan secara berperingkat akan diteruskan mulai 1 Ogos hingga 30 September dengan fokus kepada pendekatan pendidikan dan advokasi melalui lawatan pemeriksaan.

Surat peringatan juga boleh dikeluarkan kepada pihak yang didapati tidak mematuhi peraturan.

Manakala bermula 1 Oktober, tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mana-mana fasiliti yang melakukan kesalahan berulang.

Penguatkuasaan penuh dijangka dilaksanakan mulai 1 Januari 2026.

Mengulas tindakan undang-undang yang difailkan terhadap perintah tersebut, kenyataan itu memaklumkan bahawa terdapat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi oleh tujuh pertubuhan pengamal perubatan dan pergigian serta seorang doktor swasta yang mencabar keabsahan Perintah P.U.(A) 141/2025.

“Namun sehingga kini, tiada sebarang perintah mahkamah yang menggantung pelaksanaan atau penguatkuasaan perintah itu. Maka, perintah tersebut kekal sah dan berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu lagi.

KKM dan KPDN turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan inisiatif ini secara inklusif, berfasa dan berhemah demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati pengguna serta meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan kepercayaan terhadap sistem kesihatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button