Presiden Kyrgyzstan diberi sambutan rasmi negara
PUTRAJAYA – Presiden Republik Kyrgyzstan, Sadyr Zhaparov hari ini diberi sambutan negara sempena lawatan rasminya selama dua hari ke negara ini.
Ketibaan beliau di Dataran Perdana, Kompleks Perdana Putra pada pukul 9 pagi disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis sambutan dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara diikuti dengan pemeriksaan kawalan kehormatan diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari, membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa anggota Jemaah Menteri.
Presiden Zhaparov kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan dua hala bersama Anwar bagi membincangkan pelbagai bentuk kerjasama strategik, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi serta pertanian.
Lawatan itu merupakan yang pertama oleh Zhaparov ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden pada Januari 2021 dan menjadi kunjungan balas kepada lawatan Perdana Menteri ke Bishkek pada Mei lalu.
Menurut kenyataan bersama, lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 1992.
Kyrgyzstan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM40 juta (AS$8.74 juta) pada 2024.
Antara eksport utama Malaysia ke negara itu ialah produk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta jentera dan alat ganti.
Malaysia dan Republik Kyrgyzstan menjalin hubungan diplomatik pada 21 Mei 1992, susulan pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








