SUKAN

Malaysia tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026

HATYAI – Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026 susulan kejayaan menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa dua tahun berturut-turut serta bersempena Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan.

Perkara itu diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) yang berlangsung di Laguna Resort, Hatyai, pagi tadi.

Malaysia tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026
Datuk Sumali turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ISTAF khususnya kepada Mr Boonchai dan Mr Tana atas penganjuran edisi ke-38 Piala Raja Thai yang berlangsung dengan meriah.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menyifatkan pemilihan itu sebagai penghormatan besar kepada negara dan bukti keyakinan ISTAF terhadap kemampuan Malaysia dalam aspek penganjuran kejohanan bertaraf dunia.

“Malaysia sangat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan.

“Ini satu peluang besar untuk kita menunjukkan komitmen terhadap pembangunan sukan sepak takraw serta menjadi tuan rumah yang membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu akan menjadi motivasi kepada pemain dan pegawai Malaysia untuk meningkatkan mutu persembahan dalam menghadapi kejohanan mendatang.

Dalam mesyuarat sama, Sumali turut menyatakan pendirian tegas Malaysia menolak cadangan pindaan undang-undang servis yang dikemukakan.

Menurutnya, undang-undang servis yang digunakan ketika ini sudah mantap dan diguna pakai secara meluas dalam kejohanan antarabangsa serta domestik tanpa menimbulkan sebarang isu besar.

“Cadangan membenarkan tekong melakukan servis dengan pelbagai gaya termasuk sebagai ‘killer’ dalam bulatan akan menghapuskan keunikan dan seni posisi tekong yang telah menjadi warisan dalam sukan ini. Kita mesti kekalkan keaslian permainan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ISTAF khususnya kepada Mr Boonchai dan Mr Tana atas penganjuran edisi ke-38 Piala Raja Thai yang berlangsung dengan meriah.

Namun katanya, PSM kecewa dengan susunan jadual kejohanan yang terlalu padat dan tidak munasabah untuk peringkat antarabangsa kerana ia menjejaskan prestasi serta kesihatan pemain.

“Pasukan Malaysia terpaksa bermain tiga perlawanan dalam satu hari dengan masa rehat yang sangat singkat dan bermain sehingga lewat malam.

“Seorang pemain utama kami cedera pada hari pertama dan tidak dapat meneruskan aksi sehingga tamat kejohanan,” katanya lagi.

Tambah beliau, keadaan itu memberi kesan besar kepada kekuatan pasukan memandangkan hanya 12 pemain dibenarkan didaftarkan oleh setiap negara.

“Kita perlu lebih teliti dan profesional dalam menyusun jadual kejohanan.

“Jika tidak, kemampuan sebenar pemain tidak dapat ditonjolkan dan kualiti pertandingan akan terjejas,” katanya lagi.

Sumali berharap perkara itu tidak berulang pada masa akan datang dan menyeru agar semua pihak menjaga standard kejohanan agar sukan sepak takraw terus dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button