SUKAN

ISTAF rujuk 15 individu delegasi Thailand kepada Jawatankuasa Tatatertib

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) merujuk 15 individu daripada delegasi Thailand kepada Jawatankuasa Tatatertib susulan insiden tindakan meninggalkan gelanggang ketika perlawanan menentang Malaysia dalam Piala Dunia Sepaktakraw TM ISTAF 2026.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif ISTAF yang berlangsung pada 30 Mei lalu bagi meneliti isu berbangkit daripada Perlawanan No. 69 antara Thailand dan Malaysia dalam acara Regu Berpasukan.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, badan induk sepaktakraw dunia itu kekal komited untuk memastikan sukan tersebut ditadbir dengan integriti, keadilan dan akauntabiliti serta semua perkara yang menjejaskan sukan berkenaan ditangani melalui proses yang sewajarnya.

“Adalah penting untuk sebarang kesimpulan dibuat berdasarkan bukti dan penemuan yang dipertimbangkan secara sewajarnya melalui rangka kerja tatatertib Persekutuan semata-mata.

“ISTAF kekal komited untuk memastikan sukan sepaktakraw ditadbir dengan integriti, keadilan dan akauntabiliti, serta memastikan semua perkara yang menjejaskan sukan ini ditangani melalui proses yang sewajarnya, tadbir urus yang mantap dan menghormati hak semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat khas berkenaan diadakan selepas delegasi Regu Berpasukan Thailand bertindak meninggalkan perlawanan secara sengaja ketika saingan Regu Ketiga.

Jawatankuasa Eksekutif meneliti laporan yang dikemukakan pegawai perlawanan, pegawai teknikal serta bahan berkaitan sebelum membuat keputusan sebulat suara untuk merujuk kes tersebut kepada Jawatankuasa Tatatertib bagi tindakan lanjut.

“Jawatankuasa Eksekutif seterusnya memutuskan bahawa semua 12 atlet yang didaftarkan di bawah delegasi Regu Berpasukan Thailand serta tiga pegawai pasukan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib ISTAF,” katanya lagi.

ISTAF menjelaskan, rujukan tersebut melibatkan individu yang mungkin terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam peristiwa yang membawa kepada keputusan meninggalkan perlawanan, sama ada di dalam atau di luar gelanggang.

Bagaimanapun, badan induk itu menegaskan bahawa rujukan tersebut bukan satu keputusan bahawa mana-mana individu telah melakukan salah laku atau bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Sebaliknya, langkah itu bertujuan membolehkan siasatan yang komprehensif, adil dan bebas dilakukan terhadap semua fakta, keadaan serta tanggungjawab yang berkaitan.

Jawatankuasa Tatatertib akan menilai semua bukti, hujah dan representasi yang dikemukakan sebelum menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap Perlembagaan, Peraturan, Undang-Undang atau Kod Etika Persekutuan.

Dalam masa sama, ISTAF menggesa komuniti sepaktakraw antarabangsa supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes tersebut dan membenarkan proses tatatertib berlangsung secara bebas.

Menurutnya, ISTAF akan membuat pengumuman lanjut mengenai perkara itu pada masa yang sesuai selaras dengan rangka kerja tatatertib dan peraturan tadbir urus persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button