Bulatan servis hanya panduan kaki tekong – ISTAF
KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menjelaskan bahawa bulatan servis dalam permainan sepak takraw hanya berfungsi sebagai penanda untuk meletakkan kaki tekong ketika melakukan servis dan tidak wajar dijadikan alasan untuk menjatuhkan hukuman ke atas pemain.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya mencadangkan peraturan baharu yang membenarkan tekong mengangkat kaki yang tidak digunakan semasa membuat servis kerana perkara itu tidak dianggap satu kesalahan.
“Tekong juga boleh menggunakan kaki yang tidak menyepak bersama-sama dengan kaki yang menyepak ketika melakukan servis. Tiada kesalahan dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tumpuan sebenar perlu diberikan kepada cara pemain membuat persediaan sebelum dan semasa melakukan servis, bukannya kepada posisi atau pergerakan kaki semata-mata.
“Tiada bentuk kesalahan yang boleh dianggap pelanggaran, selagi mana ia tidak menyalahi prinsip permainan. Tekong boleh melakukan servis dalam apa jua cara yang difikirkan sesuai kerana tidak ada lagi kesalahan sepanjang perlawanan,” katanya lagi.
Abdul Halim berkata, isu berkaitan bulatan servis dan tekong ini sering dibangkitkan sejak 30 tahun penubuhan ISTAF, terutamanya dalam kejohanan-kejohanan besar yang melibatkan pasukan negara-negara anggota.
Katanya, pengurus pasukan dan jurulatih juga sering menyalahkan pengadil dalam perkara ini hingga menyebabkan pemain menjadi mangsa keadaan.
“Perkara ini perlu dihentikan demi masa depan sukan sepak takraw yang lebih bersih dan bebas daripada sebarang kontroversi,” katanya lagi.
Menurut Abdul Halim, langkah penambahbaikan itu diharap dapat memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk pengadil, pemain dan jurulatih dalam usaha memperkasakan lagi sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








