
Piala Dunia Istaf : Ramai tidak puas hati sistem 15 mata. servis tunggal
KUALA LUMPUR – Netizen, peminat dan pengiat sukan sepak takraw tidak berpuas hati dengan sistem baharu 15 mata dengan servis tunggal yang diperkenalkan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini.
Perkara berkenaan diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan kerana ada maklum balas yang mengatakan durasi perlawanan menjadi terlalu cepat.
Sumali berkata, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) perlu melihat semua maklum balas selepas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 berakhir bagi mencari solusi terbaik.
“Rata-rata komen tidak puas hati dengan sistem ini. Memang saya sudah maklum bahawa sebelum ini kita (PSM) tidak setuju dengan sistem kiraan baharu ini, tetapi bila Istaf putuskan kita ikut.
“Mungkin selepas kejohanan ini, Istaf boleh nilai semula berdasarkan apa yang berlaku di Piala Dunia Kuala Lumpur. Sekiranya berlanjutan ke set ketiga, perlawanan boleh memakan masa sehingga sejam lebih juga.
“Ada yang kata cepat kalau perlawanan tidak sengit. Selepas ini, kalau nak tukar sekali pun, sistem 21 mata boleh digunakan, cuma kekal satu servis…sama dengan cadangan awal Malaysia,” kata Sumali ketika ditemui pemberita.
Sebelum ini, Istaf meluluskan sistem pengiraan baharu 15 mata setiap set, dan bukannya 21 mata sebagaimana sebelumnya, bagi semua kejohanan dan pertandingan sepak takraw berkuat kuasa 2 Februari lalu.
Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan ahli gabungan yang enggan menggunakan sistem kiraan 15 mata bagi semua pertandingan domestik dan antarabangsa bakal berdepan tindakan.
Dalam pada itu, Sumali berkata, durian runtuh bakal menanti pemain-pemain Malaysia sekiranya berjaya melakar kejayaan besar di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.
“Saya juga sudah berjumpa dengan pemain, dan memberitahu bahawa kita tidak menjanjikan bulan bintang. Saya suruh mereka main sehabis baik dahulu, dan imbuhan itu akan datang kemudian.
“Kalau betul-betul cemerlang, InsyaAllah akan ada bonus yang setimpal dengan usaha yang ditonjolkan mereka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








