
[VIDEO]‘Home of Sepak Takraw’ bukti komitmen martabatkan sukan warisan – PSM
KUALA LUMPUR – Penjenamaan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’ disifatkan sebagai satu pencapaian bermakna dan lambang komitmen berterusan dalam memartabatkan sukan warisan negara.
@malaysiatribunePresiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan penjenamaan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’ satu detik bersejarah buat sukan warisan negara. Menurutnya, langkah itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya pemangkin pembangunan, inspirasi kepada pemain serta peminat, selain memperkukuh kedudukan sepak takraw di peringkat antarabangsa. #malaysiatribune #beritasemasa #trendingnewsmalaysia♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, usaha itu merupakan impian yang mula digerakkan sejak tahun lalu ketika Hannah Yeoh menerajui Kementerian Belia dan Sukan.
Menurut beliau, selepas pasukan negara melakar beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa, sudah tiba masanya sepak takraw mempunyai sebuah stadium yang menjadi simbol kebanggaan serta pusat tumpuan peminat.
“Terima kasih kepada Menteri Wilayah Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Datuk Seri Fadhlun Mak Ujud kerana merealisasikan impian ini.
“Kita mahukan satu stadium yang dinamakan khusus sebagai simbol dan penggalak semangat kepada pemain serta peminat sepak takraw.
“Alhamdulillah, hasrat itu akhirnya diterjemahkan melalui pengumuman Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, penjenamaan tersebut bukan sekadar nama, sebaliknya memberi nilai tambah kerana lokasinya yang strategik di ibu kota.
“Stadium berkenaan mampu menjadi ikon serta sumber inspirasi kepada generasi muda dan peminat sukan itu.
“Bukan sahaja rakyat Malaysia, malah negara luar juga akan melihat bahawa kita mempunyai sebuah stadium yang dinamakan ‘Home of Sepak Takraw’. Ini sesuatu yang membanggakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, stadium berkenaan kekal milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bukan milik PSM.
Mengulas lanjut, Mohd Sumali berkata, PSM turut memiliki sebuah bangunan akademi yang dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini hasil sokongan pelbagai pihak.
Menurutnya, akademi berkenaan lengkap dengan kemudahan latihan dan dijadual dilancarkan awal bulan depan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh pembangunan sukan sepak takraw,” katanya lagi.
Menjawab pertanyaan mengenai latihan dan kejohanan, beliau memaklumkan akademi utama PSM terletak di Kampung Baru, iaitu di Stadium Jalan Raja Muda, manakala Stadium Titiwangsa akan lebih difokuskan untuk kejohanan besar dan pertandingan domestik.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua lokasi itu boleh digunakan secara fleksibel untuk tujuan latihan dan pembangunan atlet.
“Kita mahu tunjukkan bahawa sepak takraw sebagai sukan warisan sedang meningkat dan diberi perhatian serius.
“Dengan adanya ‘Home of Sepak Takraw’ ini, kita akan gandakan lagi program pembangunan dan inisiatif ke arah kejayaan lebih besar,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








