SUKAN

STL Champions Cup 2025 janji saingan sengit di Negeri Sembilan

SEREMBAN – Saingan STL Champions Cup 2025 bakal berlangsung dari 3 hingga 7 September ini di Karisma Arena, Negeri Sembilan dengan menampilkan 10 pasukan termasuk lima jemputan antarabangsa.

 

 

 

 

 

 

Lima pasukan terbaik STL musim ini iaitu Perak Bison, Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans, Negeri Sembilan Antlers dan Johor Tigris akan beraksi bersama pasukan jemputan iaitu Ratchaburi Takraw Club dari Thailand, STFI India Fighters, Japan Sepaktakraw, KSTA Korea serta MGPC Singapore.

Undian yang berlangsung selepas upacara penyampaian hadiah GP Pulau Pinang malam tadi menyaksikan saingan menarik apabila Kumpulan B dianggap sebagai kumpulan maut.

Melaka Titans diundi bersama Kuala Lumpur Thunder, Ratchaburi Takraw Club, Japan Sepaktakraw dan KSTA Korea.

Manakala Kumpulan A pula menampilkan Perak Bison, Negeri Sembilan Antlers, Johor Tigris, STFI India Fighters serta MGPC Singapore.

Negeri Sembilan Antlers selaku juara dua edisi terakhir dijangka tampil dengan misi mempertahankan kejuaraan di gelanggang sendiri.

Regu mantap mereka yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zulefendi Sumari sebelum ini pernah menundukkan Perak Bison pada 2023 serta Kuala Lumpur Thunder musim lalu.

Kehadiran pasukan luar negara turut dijangka merancakkan persaingan apabila Ratchaburi Takraw Club membawa barisan pemain terkuat termasuk apit kanan legenda Thailand, Pattarapong Yupadee serta pemain kebangsaan, Sutthikiart Pansankaew.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, edisi kali ini menjadi satu detik penting dalam perjalanan STL kerana penganjuran lebih meriah dengan penyertaan 10 pasukan berbanding lapan musim lalu.

“CelcomDigi STL Champions Cup 2025 buat kali ketiga membawakan pasukan jemputan antarabangsa untuk menghangatkan gelanggang.

“Kali ini lebih banyak perlawanan dan pastinya aksi lebih sengit serta mendebarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, penganjuran di Stadium Karisma turut memberi kelebihan kerana ia merupakan gelanggang rasmi Negeri Sembilan Antlers yang juga juara bertahan.

“Saya yakin kehadiran penyokong setia akan mencipta suasana luar biasa seperti yang kita saksikan dalam perlawanan akhir STL Premier Grand Prix Perak antara Perak Bison menentang Kelantan Warriors.

“Perlawanan itu mencatatkan tontonan tertinggi musim ini dan kami percaya kehangatan itu akan lebih bergema kali ini,” ujarnya lagi.

Edisi kali ini dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah penganjuran dengan reputasi pasukan luar negara yang semakin meningkat, sekali gus menjanjikan saingan penuh dramatik sepanjang lima hari kejohanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button