SUKAN

TM penaja rasmi Akademi Sepaktakraw Malaysia, perkukuh ekosistem sukan negara

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia (TM) diumumkan sebagai penaja rasmi dan rakan teknologi utama Akademi Sepaktakraw Malaysia yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Pelancaran akademi pertama di dunia itu menjadi simbol komitmen berterusan negara dalam memperkasa sukan sepak takraw melalui pembangunan bakat yang lebih tersusun dan mampan.

Di bawah kendalian Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), akademi berkenaan berperanan sebagai pusat latihan berprestasi tinggi yang memfokuskan kepada pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga ke tahap elit.

Bersempena pelancaran itu, TM dilantik sebagai Rakan Teknologi Rasmi dan Penyedia Ketersambungan Eksklusif dengan menyediakan capaian jalur lebar berkelajuan tinggi bagi menyokong operasi harian, keperluan latihan serta siaran langsung perlawanan.

Malah, kemudahan penginapan atlet turut dilengkapi dengan perkhidmatan Unifi TV yang menawarkan akses kepada saluran premium.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kerjasama bersama TM merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sepak takraw negara.

“Sepak takraw adalah identiti negara yang perlu terus dipelihara. Penubuhan akademi ini menyediakan laluan pembangunan bakat yang lebih jelas dan menyeluruh.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan TM sebagai rakan strategik dalam memastikan atlet mendapat sokongan dan kemudahan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya komited untuk terus menyokong pembangunan sukan berkenaan selaras dengan aspirasi syarikat.

“Sebagai Rakan Rasmi pasukan sepak takraw kebangsaan dan rakan teknologi akademi ini, kami akan terus memperkasa komuniti serta memupuk bakat masa hadapan, selari dengan aspirasi menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030,” katanya lagi.

Untuk rekod, kerjasama antara PSM dan TM yang dimeterai pada Mei 2025 turut melibatkan sokongan kepada pasukan kebangsaan dalam kejohanan utama seperti ASTAF Asian Cup, Sukan SEA, Sukan Asia dan ISTAF World Cup.

Selain itu, TM juga terlibat dalam pembangunan bakat menerusi program National Sepak Takraw Development Programme (NSTDP) dan Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan warisan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button