Kerja naik taraf Akademi Sepak Takraw siap tiga bulan lagi
KUALA LUMPUR – Usaha menaik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru sebagai Akademi Sepak Takraw Malaysia dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, projek bernilai RM6 juta itu bakal menjadikan kompleks tersebut antara pusat latihan sepak takraw paling lengkap di Asia, selaras aspirasi Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai peneraju sukan tradisi rantau ini.
“Kita tidak mahu membina kemudahan baharu kerana lebih baik memanfaatkan infrastruktur sedia ada untuk elak pembaziran. Model ini lebih efisien dan menjimatkan,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di tapak projek, hari ini.
Menurut Hannah, akademi eksklusif itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung termasuk penginapan atlet, gimnasium, bilik pembelajaran dan gelanggang latihan.
“Ini akademi sepak takraw eksklusif pertama di Asia, mungkin di dunia. Ia simbol komitmen Malaysia sebagai peneraju sukan warisan ini,” katanya lagi.
Hannah turut berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan signifikan bagi pembangunan sepak takraw melalui beberapa skim, termasuk Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti.
“Pada 2023 kita peruntukkan RM9 juta, RM8 juta pada 2024 dan RM6 juta pada tahun ini,” katanya lagi.
Daripada jumlah RM6 juta untuk projek naik taraf akademi, RM5.5 juta digunakan bagi infrastruktur manakala RM500,000 bagi kelengkapan dan peralatan.
Beliau turut menggalakkan penglibatan pihak swasta untuk menaja serta mendapatkan hak penamaan akademi tersebut, melihat kepada potensi besar populariti sepak takraw, khususnya ketika Malaysia beraksi di pentas antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















