Kerajaan perkukuh ekosistem blockchain, perinci rangka kerja tokenisasi aset
PUTRAJAYA – Kerajaan terus memperkukuh pembangunan teknologi blockchain serta tokenisasi aset bagi memastikan kesinambungan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional 2021-2025.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Kementerian Digital diberi tanggungjawab sebagai penyelaras utama dasar dan hala tuju strategik teknologi digital negara termasuk penerapan teknologi blockchain dalam pentadbiran, industri dan sektor awam.
“Selaras mandat tersebut, kerajaan menubuhkan Pasukan Kerja Dasar Blockchain Negara yang dianggotai pakar sektor awam dan swasta bagi memastikan hala tuju blockchain negara dirangka dengan lebih menyeluruh serta berpaksikan keperluan semasa.
“Pasukan kerja ini akan mengenal pasti keutamaan pembangunan, meneroka teknologi kripto dan bukan kripto serta meneliti implikasi etika, undang-undang dan sosial bagi memastikan penggunaan blockchain yang berintegriti dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Gobind berkata, kerjasama tiga pihak merangkumi akademik, industri dan kerajaan akan diperkukuh melalui cadangan yang dikemukakan pasukan itu, selain memberi tumpuan kepada strategi pembangunan bakat dalam bidang blockchain.
“Kerajaan kini meneliti komponen dasar utama bagi memastikan teknologi blockchain dapat meningkatkan ketelusan, keselamatan serta kecekapan dalam urusan pentadbiran kerajaan, sektor industri dan manfaat kepada rakyat.
“Penekanan juga diberikan kepada pengaplikasian tokenisasi aset termasuk dalam pengurusan aset dan pembangunan pasaran modal bagi menjamin keselamatan transaksi serta kestabilan ekosistem digital negara,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang merangka kerangka kawal selia bagi tokenisasi aset dan teknologi blockchain bagi memastikan persekitaran inovatif yang selamat serta memelihara kestabilan pasaran.
Gobind turut berkata, komitmen kerajaan dalam agenda ini membuktikan kesungguhan untuk terus memacu inovasi digital negara, selari aspirasi menjadikan Malaysia peneraju teknologi masa depan di rantau ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








