Krisis Negeri Sembilan: Tebuk atap bukan jalan bermaruah – Dr Akmal Saleh
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan beliau kekal dengan prinsip menolak pembentukan kerajaan melalui kaedah tebuk atap walaupun melibatkan parti sendiri.
Dr Akmal menegaskan bahawa rakyat memerlukan pemimpin yang berprinsip, bukannya pentaksub politik.
Menurut beliau, ketika krisis pertukaran Menteri Besar Perlis berlaku sebelum ini, ramai penyokong PAS melahirkan kemarahan terhadap tindakan tersebut, malah terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang menyokong pertukaran itu turut dipecat daripada parti.
“Pada ketika itu juga terdapat desakan supaya pilihan raya negeri diadakan sebagai tanda protes terhadap tindakan “tebuk atap” yang dilakukan oleh ADUN mereka sendiri di Perlis, selain cacian dan makian yang bertalu-talu daripada penyokong parti terbabit.
“Prinsip saya jelas dan telah saya nyatakan secara terbuka sebelum ini. UMNO perlu menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, tetapi bukan untuk menebuk atap atau kerana gila jawatan.
“Kita tarik sokongan kerana tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh PH, namun kita tetap menghormati mandat rakyat,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Beliau menegaskan bahawa jika kerajaan tumbang akibat penarikan sokongan tersebut, proses yang sewajarnya ialah mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya, bukannya membentuk kerajaan baharu melalui pintu belakang.
Menurutnya lagi, sokongan yang diberikan oleh ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan positif ke arah kerjasama antara parti-parti Melayu.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kerjasama itu perlu berlaku secara bermaruah melalui pilihan raya, bukannya melalui tindakan “tebuk atap”.
“Saya mengajak supaya kita bekerjasama dalam pilihan raya seperti mana pendirian saya dalam program ‘Keluar Sekejap’ sebelum ini, untuk melihat kerjasama antara UMNO dan PAS dapat direalisasikan.
“Jika pentaksub, apa sahaja yang menguntungkan mereka dianggap halal, manakala yang merugikan mereka dianggap haram. Itulah bezanya dengan orang yang berprinsip,” katanya.
Beliau menegaskan sekali lagi bahawa pendiriannya kekal sama sejak dahulu iaitu UMNO perlu menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang yang bermaruah, atau berdepan pilihan raya, bukannya menubuhkan kerajaan secara “tebuk atap”.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















