Kerajaan diperintah bayar RM5.63 juta kepada kanak-kanak lumpuh otak
KUALA LUMPUR – Kerajaan diperintah membayar ganti rugi RM5.63 juta kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang mengalami kelumpuhan otak serius ketika dilahirkan di Hospital Teluk Intan pada 2017.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet berkata, kanak-kanak yang kini hidup dengan cerebral palsi spastik kuadriplegik (lumpuh) berhak menerima pampasan menyeluruh meliputi perbelanjaan lalu serta keperluan perubatan, pemulihan dan penjagaan sepanjang hayatnya.
Menurut dokumen mahkamah, kanak-kanak itu selaku plaintif dilahirkan pada 22 Januari 2017, namun mengalami kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak ketika proses kelahiran yang mengakibatkan hipoksik iskemik ensefalopati.
Kanak-kanak itu sehingga kini tidak mampu bergerak sendiri dan makan perlu disuap. Dia hanya boleh menggerakkan kedua-dua tangan untuk seketika.
Kanak-kanak itu melalui bapanya, memfailkan saman sivil terhadap kerajaan dan 15 doktor sebagai defendan, menurut laporan BH Online hari ini.
Pada 22 Ogos 2022, kerajaan mengakui liabiliti dan mahkamah hanya perlu menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar.
Dalam menilai ganti rugi, mahkamah menerima keterangan pakar yang tidak dicabar daripada pakar perubatan pemulihan, Dr Aishah Ahmad Fauzi, dengan menyatakan pihak kerajaan tidak memanggil saksi pakar mereka.
Hakim memutuskan keterangan pakar yang tidak dibantah mesti diterima melainkan dibuktikan tidak munasabah.
Komponen terbesar dalam anugerah itu ialah keperluan penjagaan dan penginapan jangka panjang berjumlah RM3,076,797.
Ini termasuk kos menggaji pembantu rumah sepenuh masa, penjagaan kejururawatan, penjagaan sementara (respite care) untuk ibu bapa, pembelian rumah teres yang sesuai serta sebuah kenderaan pelbagai guna yang dilengkapi lif kerusi roda hidraulik.
Mahkamah turut menganugerahkan RM942,886 bagi konsultasi dan terapi perubatan masa hadapan, RM399,586 untuk ubat-ubatan masa hadapan, RM387,004 untuk peralatan dan alat bantuan, serta RM65,000 bagi pembedahan akan datang.
Mahkamah juga menganugerahkan RM168,873 sebagai ganti rugi khas, RM192,384 sebagai ganti rugi sebelum perbicaraan dan RM400,000 sebagai ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan serta kehilangan nikmat hidup.
Selain itu, mahkamah memerintahkan bayaran kos sebanyak RM120,000 kepada plaintif.
Jumlah penghakiman itu hendaklah dipegang secara amanah oleh bapa plaintif selaku wakil litigasi mengikut Aturan 76 Kaedah 12 Kaedah-Kaedah Mahkamah demi kebajikan dan manfaat kanak-kanak berkenaan.
Plaintif diwakili peguam Manmohan Singh Dhillon dan Luqman Fridaus, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norazlinawati Mohamad Arshad mewakili kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








