BERITA SEMASA

Rakan KKM milik penuh kerajaan, bukan penswastaan – Dr. Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memberi jaminan bahawa penubuhan Rakan KKM Sdn. Bhd. (Rakan KKM) bukan langkah penswastaan sistem kesihatan, sebaliknya satu inisiatif milik penuh kerajaan dan dikawal selia institusi awam.

Menurut beliau, syarikat berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan meskipun pelabur dari syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan terlibat pada fasa seterusnya, pemilikan mutlak kerajaan tidak akan berubah.

“GLIC yang menyertai hanya sebagai pemegang ekuiti dan tidak menjejaskan kawalan kerajaan. Kementerian Kesihatan kekal sebagai badan kawal selia utama dalam membuat keputusan penting syarikat,” katanya dalam satu hantaran di akaun X, semalam.

Dr Dzulkefly memaklumkan, Rakan KKM menerima dana permulaan RM25 juta melalui Belanjawan Persekutuan, manakala fasa kedua akan disokong pelaburan GLIC.

Dana itu katanya akan dibayar balik melalui hasil pendapatan syarikat, sekaligus menjamin kelestarian kewangan tanpa kebergantungan kepada sumber luar.

Beliau turut menekankan bahawa keuntungan operasi akan dikembalikan kepada pemegang saham kerajaan, menandakan bahawa Rakan KKM bukan entiti komersial semata-mata, tetapi bertujuan memenuhi kepentingan awam.

Antara objektif utama penubuhan Rakan KKM termasuk menawarkan perkhidmatan kesihatan berkonsep ‘premium ekonomi’ sebagai tindak balas terhadap peningkatan kos rawatan; menyediakan pendapatan tambahan kepada kakitangan kesihatan; menjadi penanda aras harga untuk hospital swasta dan membantu mengekang inflasi kos perubatan.

Jelas beliau, langkah itu juga berupaya mengukuhkan daya tahan sistem kesihatan awam, termasuk memberi manfaat kepada pesakit yang tidak menggunakan perkhidmatan Rakan KKM secara langsung.

Menjawab isu pelesenan syarikat di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), Dzulkefly menjelaskan bahawa akta itu turut memperuntukkan keabsahan bagi entiti yang diperbadankan kerajaan.

“Pakar perundangan semasa penggubalan akta telah menjangka kemungkinan kerajaan menjalankan perkhidmatan kesihatan melalui entiti korporat. Ini juga penting untuk membolehkan persaingan adil dengan sektor swasta,” jelasnya.

Beliau turut merujuk Seksyen 2 Akta 586 yang secara jelas membezakan antara kemudahan yang diswastakan dan kemudahan yang diperbadankan tetapi masih dimiliki kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button