BERITA SEMASAPMX

Kerajaan peruntuk RM20 juta perkasa prasarana pendidikan Tambun

IPOH – Kerajaan MADANI terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa sektor pendidikan apabila mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penaiktarafan dan pembaikan prasarana asas pendidikan di kawasan Parlimen Tambun.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan persiapan Ihya’ Ramadan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Choy, di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Program berkenaan menyantuni kira-kira 3,000 pelajar daripada 16 sekolah sekitar Parlimen Tambun bersama ibu bapa serta warga sekolah dalam suasana penuh muhibah dan semangat perpaduan.

Perdana Menteri berkata peruntukan itu bertujuan memastikan kemudahan pendidikan sentiasa berada pada tahap terbaik serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan kondusif kepada para pelajar.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan memelihara budaya saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, selain menyeru generasi muda menanam sifat rendah diri serta berakhlak mulia sebagai asas pembentukan sahsiah unggul.

“Langkah berkenaan diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan institusi pendidikan negara sekali gus mengangkat martabat dan kualiti pendidikan anak-anak agar setanding dengan negara maju di persada dunia,” katanya menurut kenyataan di Facebook Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button