Hampir 4 tan ikan bandaraya ditangkap di Sungai Klang
Jumlah tangkapan mencecah 3.887 tan dan kesemuanya adalah spesies hypostomus plecostomus.
KUALA LANGAT – Populasi ikan bandaraya yang semakin menggugat ekosistem sungai tempatan dibanteras menerusi operasi khas selama enam jam yang berjaya menangkap hampir empat tan spesies invasif itu di Sungai Klang, Taman Mas Langat, di sini hari ini.

Operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Program misi buru Ikan asing di Sungai Klang, Taman Mas, Kuala Langat hasil kerjasama Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) Malaysia dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Pengasas SPIA, Mohamad Haziq A. Rahman berkata, kesemua ikan yang ditangkap adalah daripada spesies asing tanpa satu pun ikan tempatan, membuktikan dominasi luar biasa ikan bandaraya di sungai tersebut.
“Kami bermula pukul 9 pagi hingga pukul 3 petang, jumlah tangkapan mencecah 3.887 tan dan kesemuanya adalah spesies hypostomus plecostomus atau lebih dikenali sebagai ikan bandaraya,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Jelasnya, ikan bandaraya bersifat invasif kerana mampu membiak sepanjang tahun tanpa kawalan biologi dan membina lubang di tebing sungai sedalam dua meter sebagai tempat bertelur.
“Lubang ini melemahkan struktur tebing, mempercepat hakisan dan berpotensi menyebabkan kerosakan lebih besar apabila musim hujan tiba,” katanya.
SPIA, telah menjalankan operasi hampir setiap hari sejak dua tahun lalu bagi membendung peningkatan jumlah spesies ini di seluruh negara.
“Ikan ini tahan lasak, berkulit keras dan berduri halus, Ia tidak dimakan pemangsa lain, menjadikan populasinya terus meningkat jika tidak dikawal secara berterusan,” ujarnya.
Menurut beliau, SPIA kini menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memperluas kawalan, antaranya dengan meletakkan bongkah batu di tebing bagi menyekat pembentukan lubang pembiakan.

Ditanya mengenai keselamatan ikan tersebut untuk dimakan, beliau menjelaskan bahawa tahap pencemaran sungai memainkan peranan penting dalam menentukan kandungan logam berat seperti merkuri.
“Contohnya, ikan dari Sungai Klang mengandungi tahap pencemaran tinggi dan tidak sesuai untuk dimakan tetapi ujian di Sungai Langat menunjukkan ia masih berada dalam tahap selamat,” jelasnya.
Bagaimanapun, SPIA Malaysia mengambil langkah untuk tidak mengkomersialkan hasil tangkapan bagi mengelakkan aktiviti pembiakan semula secara tidak terkawal.
Sebaliknya, ikan-ikan berkenaan dilupuskan secara terkawal dan dijadikan baja serta makanan ikan sebelum diagihkan kepada petani dan penternak yang berdaftar.
Haziq turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil membantu usaha ini melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk menawarkan insentif tunai bagi setiap kilogram ikan bandaraya yang ditangkap.
“Sejak SPIA Malaysia ditubuhkan, kami telah jelajah hampir seluruh Semenanjung. Lebih 54 tan ikan bandaraya berjaya ditangkap setakat ini, dengan lebih 30 tan daripadanya direkodkan di negeri Selangor sahaja,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







