BERITA SEMASA

Usaha banteras ikan pendatang wajar diperluas, orang ramai tampil beri sokongan

KUALA LANGAT – Program membanteras ikan pendatang di sungai tempatan terus mendapat perhatian apabila komuniti setempat dan peserta luar tampil memberikan sokongan terhadap usaha memulihkan ekosistem perairan yang semakin terjejas.

Menerusi Program Misi Memburu Ikan Asing anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Sungai Klang di sini, orang ramai turut serta memburu ikan asing.

Seorang peserta warga emas, Kamaruddin Arshad, 71, berkata spesies seperti ikan bandaraya dilihat menjadi punca utama kemerosotan populasi ikan tempatan di sungai.

Peserta Kamaruddin Arshad, 71 bersama rakanya Wan Azlan Wan Hussin, 49. -Foto Malaysia Tribune.

Berkongsi pengalaman lalu katanya, suatu ketika dahulu Sungai Klang kaya dengan pelbagai jenis ikan seperti patin, sepat dan haruan, namun kini semakin sukar ditemui.

“Dulu ikan tempatan memang banyak, tapi sekarang semakin berkurangan. Ikan bandaraya ini cepat membiak dan menjejaskan spesies lain,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurutnya, program seumpama itu perlu diteruskan secara konsisten dengan penglibatan lebih banyak pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, peserta dari Ipoh, Ahmad Al Hafiz Kamaruddin, 32, menyifatkan program tersebut sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman spesies invasif.

Peserta dari Ipoh, Ahmad Al Hafiz Kamaruddin, 32. Foto Malaysia Tribune/ Suziyani.

Katanya, walaupun kaedah menangkap ikan menggunakan jala agak mencabar, ia tetap memberi pengalaman bermakna.

“Saya datang sebab minat dan hobi. Program ini bagus untuk beri kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga ekosistem sungai,” ujarnya.

Pada masa sama dia turut menggesa pihak MPKL agar memperluaskan pelaksanaan program berkenaan dan menjadikannya sebagai inisiatif berterusan.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Ros Ayu Muhammad, 40, berkata program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharaan.

Peserta, Ros Ayu Muhammad, 40. – Foto Malaysia Tribune.

“Walaupun ada cabaran seperti duri ikan dan sampah yang merosakkan jala, program ini tetap berbaloi. Ia bantu bersihkan sungai,” jelasnya.

Menurutnya, kebanyakan tangkapan terdiri daripada ikan pendatang seperti talapia, manakala ikan tempatan semakin sukar ditemui.

Rosayu turut mencadangkan agar program seumpama itu dianjurkan dengan lebih kerap bagi mengawal pembiakan ikan pendatang yang pesat.

“Kalau boleh, buat lebih kerap kerana ikan ini cepat membiak. Usaha berterusan sangat penting,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button