Malaysia rayu sokongan keanggotaan Ahli Majlis International Telecommunication Union
KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat untuk terus memainkan peranan aktif dalam badan telekomunikasi global dengan menawarkan diri sebagai Ahli Majlis International Telecommunication Union (ITU) bagi penggal 2027–2030.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan melalui beberapa pertemuan dua hala bersempena Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) yang sedang berlangsung di Tokyo.
Katanya, dalam pertemuan itu, Malaysia berharap akan memperoleh sokongan berterusan daripada negara-negara anggota APT bagi pencalonannya dalam pemilihan akan datang.
“Sebagai Ahli Majlis ITU, Malaysia memainkan peranan dalam menentukan hala tuju dasar strategik ITU, mengawasi pelaksanaan keputusan yang dibuat semasa persidangan, serta mewakili kepentingan rantau Asia dan negara membangun dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Fahmi berkata, hasrat dan komitmen Malaysia itu turut menjadi topik perbincangan dalam sesi pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan sektor komunikasi antarabangsa, termasuk Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Murakami Seiichiro dan Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Zhang Yunming.
Katanya, dalam perkembangan berkaitan, ITU turut menjemput Malaysia untuk menghadiri beberapa sidang kemuncak penting yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada September dan Baku, Azerbaijan pada November tahun ini.
Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dua hala dengan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr. Cosmas Luckyson Zavazava.
“Saya tegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan MADANI dalam memastikan rangkaian internet yang lebih selamat untuk pengguna di Malaysia, di samping memperluas liputan ke seluruh pelosok negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








