ATM pantau rapat kapal Pengawal Pantai China di perairan Sarawak – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan pihaknya memantau rapi pergerakan sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) yang dikesan berada di perairan Sarawak sejak memasuki Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada Hari Krismas lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebuah kapal peronda luar pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kelantan, ditugaskan secara berterusan bagi menjejaki pergerakan kapal China berkenaan.
Menurut beliau, sebaik pengesahan diperoleh, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memaklumkan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) bagi membolehkan satu nota bantahan rasmi dikemukakan kepada kerajaan China.
“Kapal CCG 5304 dikesan buat kali pertama pada kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika di selatan Terumbu Lang Ngindang,” katanya memetik New Straits Times.
Mohamed Khaled berkata, kapal berkenaan mula dikesan berada dalam perairan ZMM Sarawak oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), KM Tegas, di bawah Op Khas Raja Laut pada 25 Disember lalu.
“Sejak pengesanan awal itu, pemantauan terhadap aset China ini diteruskan oleh KD Kelantan yang ditugaskan di bawah Op Satria 28/25,” katanya.
Beliau menjelaskan, kehadiran kapal CCG di kawasan Operasi Satria yang merangkumi Beting Raja Jarom dan Beting Hempasan Bantin bukan perkara baharu, sebaliknya telah dikesan secara konsisten sejak akhir 2013.
Sehubungan itu, ATM melaksanakan Op Satria secara berterusan 24 jam bagi memantau pergerakan kapal CCG dan aset Republik Rakyat China (PRC) demi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.
“Sebarang pencerobohan, khususnya di kawasan tuntutan bertindih, tertakluk kepada rules of engagement yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan ketegangan atau situasi tidak terkawal,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, penggunaan taktik zon kelabu, iaitu strategi bukan ketenteraan termasuk aktiviti seperti tinjauan hidrografi yang diiringi kapal pengawal pantai asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, jelas bersifat provokatif dan mencabar kedaulatan negara.
Beliau menegaskan Malaysia kekal berpendirian bahawa sebarang pertikaian perlu diselesaikan menerusi saluran diplomatik selaras dengan prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Selain itu, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif melalui ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dalam usaha membentuk Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan bagi membina keyakinan bersama serta mengurangkan risiko konflik bersenjata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








