LTBP 3.0: MAG sasar hasil RM24.6 bilion, tumpu naik taraf KLIA
KUALA LUMPUR – Malaysia Aviation Group (MAG) menyasarkan fasa pertumbuhan seterusnya menerusi pelaksanaan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0) dengan sokongan berterusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), khususnya dari segi peningkatan infrastruktur dan pengalaman penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi MAG, Bryan Foong berkata, kumpulan itu telah menggariskan keperluan serta aspirasi pertumbuhan kepada MAHB bagi menyokong peralihan daripada LTBP 2.0 kepada LTBP 3.0, yang kini sedang diteliti oleh pengendali lapangan terbang berkenaan.
Menurutnya, di bawah LTBP 3.0, MAG menyasarkan peningkatan hasil hampir dua kali ganda kepada RM24.6 bilion menjelang 2030 berbanding RM13.8 bilion pada 2024, selain meletakkan sasaran tersenarai dalam 10 syarikat penerbangan terbaik dunia Skytrax dan mencapai prestasi ketepatan masa 85 peratus.
“Kami telah memaklumkan keperluan dan senarai hasrat kepada MAHB.
“Sudah tentu proses ini mengambil masa, namun MAG berharap momentum dapat dipercepatkan agar kedua-dua pihak dapat berkembang bersama,” memetik NST online.
Bryan turut mengakui beberapa cabaran operasi di KLIA ketika ini menjejaskan pengalaman pelanggan, termasuk isu aerotrain, gangguan sistem pengendalian bagasi dan kesesakan pada waktu puncak.
“Penyelesaian jangka pendek perlu dilaksanakan serentak dengan perancangan kapasiti jangka panjang, termasuk kemungkinan pembinaan terminal satelit baharu atau pengembangan terminal sedia ada,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Bhd, Kapten Nasaruddin Bakar berkata, MAG dan MAHB telah bekerjasama rapat sepanjang setahun lalu ke arah matlamat bersama untuk memacu pertumbuhan industri penerbangan negara, namun mengakui terdapat kekangan di kedua-dua pihak.
Beliau menegaskan keperluan memperkukuh konsep Malaysia Inc, iaitu pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak dalam rantaian nilai penerbangan termasuk penggubal dasar, pengawal selia, lapangan terbang, syarikat penerbangan serta infrastruktur sokongan seperti jalan raya dan rel.
“Mencapai pertumbuhan mampan memerlukan tindakan bersepadu, lebih-lebih lagi dengan kehadiran lebih 40 juta pelancong ke Malaysia pada 2025,” katanya lagi.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail pula menjelaskan Malaysia Inc merujuk kepada usaha kolektif seluruh ekosistem penerbangan negara, merangkumi semua syarikat penerbangan berpangkalan di Malaysia termasuk AirAsia Malaysia dan Batik Air Malaysia, selain sektor sokongan seperti penyelenggaraan, pengendalian darat dan kargo.
“LTBP 3.0 menandakan peralihan daripada fasa penstabilan kepada pertumbuhan berskala dan berdisiplin.
“Ia adalah peta hala tuju lima tahun dari 2026 hingga 2030 untuk mengukuhkan kedudukan daya saing MAG sebagai kumpulan perkhidmatan penerbangan dan pelancongan terkemuka di Asia,” katanya lagi.
Tambah beliau, kejayaan LTBP 2.0 yang menyaksikan pengurangan liabiliti melebihi RM15 bilion dan penghapusan hutang legasi RM10 bilion menjadi asas keyakinan MAG untuk melangkah ke bab baharu pertumbuhan mampan demi pelanggan, rakan strategik dan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








