BERITA SEMASA

TM akui berlaku gangguan awal NG MERS 999, ambil langkah pemulihan segera

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia (TM) mengesahkan berlaku gangguan pada perkhidmatan talian kecemasan 999 susulan fasa awal migrasi sistem NG MERS 999 sehingga menyebabkan sebahagian pengguna gagal mendapatkan respons kecemasan segera.

Menurut TM, migrasi kepada NG MERS 999 dilakukan selepas platform MERS999 yang telah digunakan selama 17 tahun mencapai had teknikal dan tidak lagi mampu memenuhi keperluan kecemasan negara yang semakin kompleks.

Katanya, sistem baharu itu dibangunkan bagi meningkatkan akses, memperkukuh penyelarasan pelbagai agensi dan menyamai piawaian kecemasan antarabangsa.

“Namun, sejurus migrasi dilaksanakan, jumlah panggilan harian melonjak kepada hampir 70,000 panggilan berbanding purata 50,000 sebelum ini.

“Hanya lima peratus daripada jumlah tersebut merupakan panggilan kecemasan sebenar, manakala majoritinya merupakan panggilan senyap dan panggilan usikan.

“Walaupun begitu, jumlah kes kecemasan yang disalurkan ke agensi-agensi kekal pada sekitar 3,500 laporan sehari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, peningkatan luar jangka itu menjejaskan prestasi sistem dan TM memaklumkan pihaknya telah menambah kapasiti pelayan, mengoptimumkan konfigurasi sistem, serta mengerahkan sumber tambahan di pusat panggilan bagi menangani jumlah panggilan yang tinggi.

Dalam pada itu TM turut menegaskan bahawa talian suara 999 kekal sebagai saluran utama kecemasan manakala aplikasi SaveME999 berfungsi sebagai pilihan tambahan.

Katanya, orang ramai boleh merujuk panduan pemasangan dan pendaftaran di portal rasmi 999.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya juga sedang bekerjasama rapat dengan lima agensi kecemasan utama Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk memastikan pemulihan perkhidmatan berjalan lancar.

“TM merayu kepada orang ramai agar tidak membuat panggilan usikan, kerana salah guna talian kecemasan boleh menjejaskan masa respons bagi kes sebenar.

“TM kekal komited memastikan keselamatan rakyat dan talian hayat kecemasan negara sentiasa berfungsi pada tahap terbaik,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa pasukan teknikal sedang bekerja 24 jam untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button