BERITA SEMASA

DNB tolak notis TM, kontrak 5G masih sah

KUALA LUMPUR – Digital Nasional Bhd (DNB) menolak notis penamatan dikemukakan Telekom Malaysia Berhad (TM) berhubung Perjanjian Akses Rangkaian Borong 5G, sambil menegaskan kontrak itu kekal sah dan berkuat kuasa sehingga Oktober 2032.

DNB berkata, perjanjian jangka panjang tersebut mengandungi syarat-syarat khusus bagi sebarang penamatan awal dan mendakwa TM tidak melaksanakan hak itu selaras dengan peruntukan yang ditetapkan.

“DNB tidak menerima notis penamatan oleh TM.

“Perjanjian berkenaan kekal sah, mengikat dan boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DNB turut berkata, akan mengambil langkah perlu bagi melindungi kepentingannya serta mengekalkan hak di bawah perjanjian dan undang-undang.

Terdahulu, TM mengumumkan telah menggunakan hak kontraknya untuk menamatkan perjanjian akses borong 5G dengan DNB sebagai sebahagian daripada langkah menyertai perjanjian baharu Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali 5G bersama U Mobile Sdn Bhd.

Perbezaan pendirian antara kedua-dua pihak itu dilihat berpotensi mencetuskan pertikaian kontrak berhubung hala tuju pengaturan borong 5G negara dalam kerangka dwi-rangkaian yang sedang dilaksanakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button