BERITA SEMASA

Azam Baki nafi kaitan syarikat adik dapat kontrak RM178 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menafikan sebarang penglibatan dalam penganugerahan kontrak kerajaan bernilai RM178.29 juta kepada sebuah syarikat milik adiknya, Nasir Baki.

Azam menegaskan beliau tidak mengetahui mengenai kontrak tersebut yang melibatkan pembangunan dan pengoperasian sistem Road Charge dan Vehicle Entry Permit (RC/VEP) di sempadan Malaysia-Singapura.

“Itu urusan perniagaannya. Saya sudah bersara dan terpulang kepada kementerian untuk menganugerahkan projek itu kepada syarikatnya.

“Adakah ini bermaksud sesiapa yang mempunyai kaitan dengan saya akan dipersoalkan? Saya juga mempunyai seorang adik perempuan yang merupakan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) yang terkenal di negara ini.

“Adakah ini bermaksud dia juga akan menjadi perhatian?” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini, The Edge melaporkan Integriti Padu Sdn Bhd dianugerahkan kontrak enam tahun untuk membangunkan dan mengendalikan sistem tersebut pada 26 Mei, selepas permintaan untuk cadangan dibuka pada Jun tahun lalu.

Menurut laporan itu, Nasir memiliki 34% pegangan saham dalam syarikat berkenaan.

Pada 2022, Azam mencetuskan kontroversi berhubung pembelian dan pemilikan saham korporat yang dibuatnya pada 2015.

Ketika itu, Azam mendedahkan bahawa beliau membenarkan adiknya, Nasir, menggunakan akaun dagangan saham miliknya.

Mengikut Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat hendaklah didaftarkan atas nama pemilik benefisial sekuriti yang disimpan.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti kemudian memaklumkan bahawa siasatan mereka tidak menemukan bukti konklusif berlakunya pelanggaran undang-undang sekuriti.

Satu lagi kontroversi berkaitan pegangan saham Azam timbul awal tahun ini apabila beliau didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan penjawat awam daripada memiliki modal berbayar melebihi RM100,000 dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia.

Dakwaan itu disiasat oleh pasukan petugas khas kerajaan pada Februari, dengan Putrajaya memaklumkan bahawa ‘tindakan sewajarnya telah diambil berdasarkan penemuan jawatankuasa tersebut’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button