Lanjutan kontrak GP Malaysia diketahui bulan ini
KUALA LUMPUR – Keputusan mengenai lanjutan kontrak penganjuran perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadual berakhir tahun ini, dijangka diketahui dalam tempoh bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, kertas kerja pembaharuan kontrak sudah dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kini menunggu giliran untuk dibawa ke peringkat Kabinet.
“Insya-Allah, dalam bulan ini kita akan mendengar berita sama ada positif atau sebaliknya. Kami mencadangkan tempoh lima tahun, namun ia bergantung kepada keputusan Kabinet.
“Harapan kami untuk menyambung lima tahun kerana banyak lagi projek yang ingin dijalankan bersama MotoGP pada masa hadapan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau ketika ditemui pada Malam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) 2025, malam tadi.
Untuk rekod, kontrak semasa Malaysia sebagai tuan rumah MotoGP diperbaharui bermula 2024 hingga tahun ini, dengan SIC terus menjadi venue penganjuran perlumbaan dua roda berprestij dunia itu.
Mengulas perancangan masa depan, Azhan Shafriman berkata, antara projek yang dirancang bersama MotoGP adalah pembinaan pangkalan Asia Talent Cup (ATC) di Sepang yang bakal membuka peluang pekerjaan kepada bakat tempatan termasuk jurutera, mekanik dan jurutera data, selain menyifatkan kenaikan yuran penganjuran antara 10 hingga 15 peratus sebagai setimpal dengan nilai ditawarkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta berkata rundingan pelanjutan kontrak bersama SIC menunjukkan perkembangan positif.
“Kami sememangnya menantikan lanjutan lima tahun lagi bersama SIC kerana ini adalah pasaran yang sangat penting.
“Rundingan sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar dan kini hampir dimuktamadkan, cuma menunggu proses pemformalan bersama kementerian,” katanya.
Sejak 1999, perlumbaan MotoGP Malaysia berlangsung di SIC kecuali pada 2020 dan 2021 selepas dibatalkan susulan pandemik Covid-19.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








