JENAYAH & MAHKAMAH

Amaran awal gangguan talian bawa kepada penahanan tiga suspek curi kabel

MIRI – Amaran awal gangguan perkhidmatan telekomunikasi membawa kepada penahanan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan terowong berhampiran Tamu Muhibbah, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.18 tengah malam itu, ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 47 tahun diberkas ketika berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis bantuan bersama Unit Risikan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri susulan maklumat gangguan talian komunikasi di kawasan berkenaan.

“Maklumat awal diterima daripada pusat Telekom Malaysia yang mengesan gangguan perkhidmatan sebelum anggota polis bantuan digerakkan untuk rondaan dan pemantauan.

“Hasil tindakan segera itu, tiga suspek berjaya ditahan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.

“Antara yang dirampas ialah kunci rantai, lampu suluh, gergaji besi, gulungan wayar tembaga, dua potongan kabel fiber serta dua potongan kulit kabel,” katanya.

Tambahnya, semua barangan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan mencuri kabel telekomunikasi yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam.

Ketiga-tiga suspek kini direman di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button