BERITA SEMASA

Cubaan curi kabel di laluan Kempas Baru-Kulai gagal

JOHOR BAHRU – Cubaan mencuri kabel sepanjang kira-kira 250 meter di laluan Kempas Baru–Kulai berjaya digagalkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) malam tadi selepas seorang lelaki tempatan diberkas dalam operasi rondaan keselamatan.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, Pusat Kawalan Tren menerima maklumat berhubung gangguan sistem persemboyanan di laluan berkenaan kira-kira pukul 8.50 malam sebelum Pasukan Polis Bantuan (PB) diarahkan menjalankan rondaan dan pemeriksaan segera di sepanjang jajaran terbabit.

“Sekitar pukul 11.30 malam, anggota bertugas mengesan seorang individu dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 728.25 antara laluan Kempas Baru–Kulai.

“Suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti memotong kabel dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB, hasil tindakan pantas anggota PB, suspek berjaya ditahan pada pukul 11.47 malam.

Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati kabel jenis empat teras telah dipotong, selain beberapa beg berisi peralatan pemotong kabel yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut ditemukan berhampiran tempat kejadian.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk siasatan lanjut dan semakan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai 28 rekod jenayah lampau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button