BERITA SEMASADALAM NEGERI

KTMB tambah 8 perjalanan tambahan, 44 peratus tiket raya Aidilfitri terjual

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan lapan perjalanan tambahan tren Keretapi Elektrik Berkelajuan Tinggi (ETS) bermula 13 hingga 29 Mac bagi menampung peningkatan mendadak permintaan penumpang sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil susulan 44 peratus tiket ETS bagi perjalanan pulang ke kampung sudah terjual setakat ini, sekali gus menggambarkan sambutan awal yang tinggi daripada orang ramai dan dijangka habis sepenuhnya sekitar Februari depan.

Menurutnya, penambahan perkhidmatan berkenaan melibatkan laluan utama iaitu JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral, KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral, KL Sentral–Ipoh–KL Sentral dan KL Sentral–Butterworth–KL Sentral, dengan 36,540 tiket tambahan ditawarkan kepada pengguna.

“Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang beroperasi sempena Aidilfitri akan meningkat sehingga 52 perjalanan sehari,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perkhidmatan Pengangkutan Awam Istimewa Sempena Perayaan 2026 di KL Sentral, di sini hari ini.

Anthony berkata, jualan tiket bagi perkhidmatan tambahan itu akan dibuka mulai 1 Mac bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan jualan tiket ETS sempena Tahun Baharu Cina hampir habis dijual susulan sambutan menggalakkan pengguna.

Sehubungan itu, katanya, KTMB akan menambah perkhidmatan ETS bagi tempoh 13 hingga 22 Februari melibatkan laluan KL Sentral–Butterworth–KL Sentral, KL Sentral–Ipoh–KL Sentral, KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral serta JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral, dengan dua perjalanan sehari bagi setiap laluan.

“Bagi tempoh tersebut, sebanyak 26,450 tiket disediakan untuk jualan. Jualan tiket ETS bagi musim Tahun Baharu Cina yang dibuka pada 29 Januari menunjukkan sambutan amat memberangsangkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button