BAS.MY Kota Bharu dilancar, perkasa pengangkutan awam di Kelantan
KOTA BHARU – Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti atau Stage Bus Services Transformation (SBST) Kota Bharu dilancarkan secara rasmi bagi memperkasa sistem pengangkutan awam di negeri Kelantan.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, hari ini.
Anthony berkata, pelaksanaan SBST Kota Bharu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya di luar Lembah Klang, bagi memastikan sistem yang cekap, selamat dan mesra pengguna dapat dinikmati oleh rakyat.

Menurut beliau, inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan dan ihsan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
“Pelaksanaan SBST Kota Bharu melibatkan 16 laluan merangkumi 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, Majlis Daerah Bachok, Gua Musang, Ketereh, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Jeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perkhidmatan bas berkenaan dikenali sebagai BAS.MY Kota Bharu dengan menampilkan reka bentuk bas berwarna merah jambu yang ceria dan moden sebagai identiti baharu pengangkutan awam di negeri itu.
Sebanyak 64 buah bas disediakan merangkumi lapan bas elektrik (EV) midi, 24 bas mini lantai rendah dan 32 bas mini, lengkap dengan kemudahan penghawa dingin, sistem GPS, mesin tiket elektronik serta kamera litar tertutup (CCTV).
Selain itu, BAS.MY Kota Bharu memperkenalkan sistem pembayaran tambang tanpa tunai menggunakan kad debit, kad kredit serta e-dompet melalui kod QR, di samping tawaran Kad 30 Hari BAS.MY bernilai RM30 bagi perjalanan tanpa had.
Tambang percuma turut diberikan kepada orang kurang upaya (OKU), warga emas, pelajar sekolah dan siswa melalui Kad Konsesi BAS.MY, selain kemudahan aplikasi perancang perjalanan bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat perkhidmatan.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan terus memantau pelaksanaan SBST Kota Bharu bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan kekal cekap, selamat dan boleh diharap.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








