41 kes penipuan tiket BTS direkodkan, kerugian hampir RM96,000
KUALA LUMPUR – Sebanyak 41 kes penipuan membabitkan penjualan tiket konsert BTS World Tour direkodkan setakat ini dengan jumlah kerugian mencecah RM95,974.81.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya mendapati aktiviti penipuan itu semakin aktif dipromosikan menerusi pelbagai platform media sosial menjelang konsert kumpulan K-pop terkenal tersebut.
Menurut beliau, sindiket dan individu tidak bertanggungjawab dikesan menawarkan tiket bagi kategori popular seperti VIP, Soundcheck dan Priority Access yang menjadi buruan peminat.
Katanya, berdasarkan penilaian JSJK, kes penipuan berkaitan tiket konsert BTS dijangka meningkat apabila tiket-tiket yang dijual secara sah telah habis dijual.
“Situasi ini berada pada tahap membimbangkan dan berpotensi meningkat apabila tiket rasmi habis dijual.
“Situasi ini didorong oleh permintaan yang tinggi serta fenomena Fear of Missing Out (FOMO) dalam kalangan peminat yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan konsert berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara taktik yang digunakan suspek adalah menjual tiket sebelum jualan rasmi atau tempoh prajualan bermula, selain mendakwa mempunyai akses dalaman dan peruntukan tiket khas.
Malah, katanya, ada suspek menggunakan tangkap layar tempahan yang telah diubah suai bagi meyakinkan mangsa sebelum mendesak mereka membuat pembayaran segera melalui pindahan bank, DuitNow atau kod QR.
“Selepas wang dipindahkan, mangsa tidak menerima tiket yang dijanjikan atau suspek terus menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membeli tiket hanya melalui saluran rasmi yang diumumkan penganjur atau ejen jualan yang sah serta mengelakkan urusan pembelian dengan individu tidak dikenali di media sosial.
Rusdi turut menggesa orang ramai menyemak nombor akaun dan nombor telefon melalui portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi, selain segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan.
Amaran itu dikeluarkan menjelang konsert BTS World Tour “Arirang” yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional TM, Bukit Jalil pada 12 dan 13 Disember ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







