Dua remaja ditahan tunggang basikal lajak dilepaskan
SUBANG JAYA – Dua remaja lelaki yang ditahan polis kerana menunggang basikal lajak secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Khamis lalu, telah dilepaskan selepas keterangan mereka direkodkan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada pukul 5 petang kelmarin sebelum dilepaskan kira-kira pukul 2 pagi, semalam.
“Mereka mendakwa tidak menyedari lampu isyarat berada dalam keadaan merah ketika menunggang basikal lajak tersebut. Tiada kecederaan melibatkan kedua-duanya dan tiada kerosakan pada mana-mana kenderaan.
“Ibu bapa mereka telah dipanggil, diambil keterangan dan diberi nasihat berkaitan keselamatan serta pemantauan anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, empat keterangan telah direkodkan melibatkan kedua-dua remaja serta ibu bapa mereka. Kes disiasat di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum tindakan lanjut diambil.
Terdahulu, media melaporkan penahanan dua remaja tersebut susulan video tular menunjukkan mereka menunggang basikal lajak secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat Putra Heights.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 5.55 petang pada 4 Disember lalu, ketika kedua-duanya datang dari arah Persiaran Putra Perdana menuju Kampung Tengah sebelum bertindak menunggang secara berbahaya di laluan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








