BERITA SEMASA

Kecurian kabel 100 meter jejaskan operasi ETS, Komuter Utara

KUALA LUMPUR – Kecurian kabel sepanjang 100 meter di Kilometer 95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting, Perak hari ini menyebabkan gangguan sistem semboyan sekali gus menjejaskan operasi tren di sektor utara.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan, kejadian itu dikesan pasukan polis bantuannya selepas pemeriksaan dilakukan di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Akibat insiden tersebut, penumpang tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Utara terpaksa berdepan kelewatan melebihi satu jam daripada jadual asal.

Menurut KTMB, beberapa perkhidmatan KTM Komuter Utara yang terjejas ialah tren No. 2902 dengan kelewatan kira-kira 34 minit, No. 2904 (40 minit), No. 2903 (23 minit) dan No. 2905 (25 minit).

“Semua perkhidmatan ETS yang melalui laluan itu turut dijangka mengalami kelewatan termasuk EP9121 selama 90 minit, EX9171 (21 minit), EP9323 (enam minit) dan EG9343 (tiga minit),” menurut kenyataan KTMB hari ini.

KTMB berkata, pihaknya memandang serius kejadian kecurian kabel kerana ia bukan sahaja menjejaskan kelancaran operasi tren, malah memberi kesan terhadap aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sistem rel negara.

Ketika ini, pasukan teknikal KTMB sedang menjalankan kerja pembaikan dan pemulihan bagi memastikan operasi tren kembali stabil serta dapat beroperasi seperti biasa secepat mungkin.

Penumpang turut disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai status perjalanan dan kelewatan tren melalui saluran media sosial rasmi KTMB atau merujuk kakitangan bertugas di stesen berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button