Gangguan operasi MRT Putrajaya akibat kecurian kabel
PUTRAJAYA – Gangguan operasi perkhidmatan tren MRT di Laluan Putrajaya hari ini disahkan berpunca daripada kejadian kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan yang dikesan berhampiran Stesen Kuchai.
Menurut Rapid Rail Sdn Bhd, hasil siasatan awal mendapati beberapa longgokan kabel yang telah dipotong ditemui di lokasi berdekatan, dipercayai menjadi punca utama gangguan sistem semboyan di sepanjang laluan berkenaan.
Susulan itu, Rapid Rail dengan kerjasama MRT Corporation dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi membendung kegiatan kecurian kabel yang dilaporkan semakin kerap berlaku di beberapa jajaran Laluan Putrajaya.
Pasukan teknikal Rapid Rail bersama pakar sistem asal (OEM) kini giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan serta pemulihan bagi menstabilkan semula operasi tren dalam masa terdekat.
Buat masa ini, tren di antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Putrajaya Sentral dipandu secara manual sebagai langkah keselamatan, menyebabkan pergerakan tren menjadi perlahan dan tempoh menunggu di setiap stesen lebih lama.
Kekerapan tren dijangka antara 20 hingga 30 minit.
Bagi mengurangkan kesulitan penumpang, Rapid Rail menyediakan perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma bagi menghubungkan perjalanan antara kedua-dua stesen tersebut.
Selain itu, anggota polis bantuan dan petugas stesen turut ditempatkan di platform, ruang legar serta hentian bas bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang.
Rapid Rail menegaskan pihaknya sedang menjalankan pemantauan rapi dan berusaha memulihkan perkhidmatan secepat mungkin.
Penumpang dinasihatkan untuk merujuk laman sosial rasmi Rapid KL bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini serta merancang perjalanan lebih awal dengan mempertimbangkan alternatif pengangkutan lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















