BERITA SEMASALUAR NEGARA

Gangguan rangkaian telekomunikasi lumpuhkan perkhidmatan di seluruh Australia

MELBOURNE – Gangguan rangkaian mudah alih milik Telstra, syarikat telekomunikasi terbesar Australia, menjejaskan jutaan pengguna di seluruh negara itu pada pagi Rabu, sekali gus mengganggu operasi pengangkutan awam, sistem pembayaran elektronik dan panggilan kecemasan.

Dalam satu kenyataan, Telstra memaklumkan pihaknya sedang menyiasat masalah yang menyebabkan sebahagian panggilan mudah alih serta sambungan data terganggu dan akan mengemas kini perkembangan sebaik isu itu berjaya diatasi.

Ketua Pegawai Kewangan Telstra, Michael Ackland, berkata gangguan itu dikesan sekitar pukul 4.30 pagi waktu tempatan selepas berlaku masalah pada nod rangkaian yang menyelaraskan sistem masa bagi rangkaian mudah alih syarikat berkenaan.

Menurutnya, kegagalan nod itu berfungsi seperti sepatutnya menyebabkan beberapa bahagian lain dalam rangkaian turut terjejas, sekali gus mengakibatkan gangguan berselang-seli terhadap panggilan telefon dan sesi data.

“Kami masih belum mengetahui punca sebenar kejadian dan siasatan sedang dijalankan dengan segera,” katanya menurut laporan berita antarabangsa.

Telstra yang mempunyai kira-kira 24.9 juta pelanggan perkhidmatan mudah alih setakat 2025 berkata, gangguan itu turut memberi kesan kepada pelbagai perkhidmatan yang bergantung kepada rangkaiannya.

Di negeri Victoria, semua perkhidmatan kereta api serantau kendalian V/Line dihentikan sementara, manakala beberapa laluan rel di negeri jiran, New South Wales (NSW), turut mengalami gangguan. V/Line memaklumkan setakat ini belum ada anggaran bila perkhidmatan dapat dipulihkan sepenuhnya.

Selain itu, Biro Meteorologi Australia (BoM) memaklumkan sebahagian data pemerhatian cuaca tidak dapat diakses berikutan masalah melibatkan pembekal luar, manakala Commonwealth Bank berkata, beberapa terminal pembayaran elektroniknya tidak dapat disambungkan kepada rangkaian Telstra.

Gangguan berkenaan turut menjejaskan sebahagian panggilan ke talian kecemasan Triple Zero di NSW dan Australia Barat (WA).

Pasukan Polis NSW berkata, sistem Triple Zero masih berfungsi, namun pelanggan Telstra mungkin gagal menghubungi talian kecemasan itu dan dinasihatkan menggunakan peranti daripada rangkaian lain sekiranya berlaku kecemasan.

Pada 2024, Telstra didenda A$3 juta (AS$2.1 juta) kerana gagal mematuhi peraturan berkaitan pengendalian panggilan kecemasan ketika berlakunya gangguan rangkaian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button