JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki tanpa pakaian di atas bumbung alami gangguan mental

KLANG – Seorang lelaki yang berjalan di atas bumbung sebuah rumah dalam keadaan tidak berpakaian di Taman Andalas di sini dipercayai mengalami gangguan mental.

Kejadian pada awal pagi semalam itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk sebelum lelaki berusia dalam lingkungan 30-an tersebut berjaya dipujuk turun oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan berkenaan pada pukul 6.53 pagi.

Menurut beliau, sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati lelaki terbabit berada di atas bumbung rumah pengadu.

“Anggota bomba mengambil pendekatan memujuk lelaki tersebut sebelum berjaya menurunkannya dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.05 pagi.

Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan lelaki berjalan di atas bumbung dengan sehelai kain pelikat yang sudah terlondeh dari badannya.

Perkongsian tersebut turut mendakwa lelaki terbabit dikaitkan dengan kejadian pecah rumah dan ‘orang minyak’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button