Tiga lelaki ditahan disyaki samun pasar mini
MIRI – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam di sebuah pasar mini di Tudan, di sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi pada 21 Ogos lalu ketika seorang pekerja wanita sedang bertugas di premis berkenaan.
Menurutnya, suspek dipercayai memecahkan pintu kedai sebelum menyerang mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan bahu.
“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Umum Miri.
“Suspek dipercayai melarikan sejumlah wang tunai serta beberapa barangan milik mangsa dan premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, hasil maklumat diterima dan siasatan dijalankan, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri berjaya menahan tiga suspek berusia antara 28 hingga 39 tahun.
“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan termasuk telefon bimbit, pakaian dan sebuah motosikal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata berbahaya.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya lagi.
Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








