SUKAN

Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw bukti sukan warisan negara kini bertaraf dunia

KUALA LUMPUR – Penganjuran TM ISTAF Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2026 disifatkan sebagai titik perubahan besar dalam sejarah sukan itu apabila kejohanan tersebut berjaya mengangkat imej sukan warisan Asia Tenggara itu ke pentas bertaraf dunia.

Pemerhati sukan, Datuk Dazma Shah Daud berkata, kejohanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 16 hingga 23 Mei itu bukan sekadar acara tahunan biasa, sebaliknya menjadi bukti bahawa sepak takraw kini semakin mendapat perhatian global.

sumali
Datuk Sumali dan Menteri belia dan sulan Taufiq Johari meraikan kemenangan pasukan kuadran negara semalam

Menurut beliau, Stadium Titiwangsa yang diangkat sebagai “Home of Sepaktakraw” berjaya menampilkan suasana pertandingan bertaraf profesional menerusi pengurusan berkualiti, fasiliti moden dan sokongan penaja korporat besar.

“Penganjuran kali ini mempamerkan standard yang jauh berbeza berbanding kejohanan terdahulu. Kehadiran syarikat besar seperti Telekom Malaysia (TM) dan BHPetrol sebagai penaja memberikan suntikan profesionalisme yang sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemerhati sukan, Dazma Shah Daud
Pemerhati sukan, Dazma Shah Daud

Beliau turut memuji kepimpinan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan yang berjaya mengemudi kejohanan berskala besar itu dengan cemerlang.

“Kejayaan tersebut turut didorong kerjasama erat bersama International Sepaktakraw Federation (ISTAF), khususnya Setiausaha Agung ISTAF, Abdul Halim Kader yang memberi sokongan penuh kepada Malaysia selaku tuan rumah,” katanya lagi.

Menurut beliau, salah satu perkembangan paling ketara dalam edisi kali ini ialah kebangkitan negara luar Asia Tenggara yang semakin mampu mencabar dominasi tradisi Malaysia dan Thailand.

“Penglibatan 14 negara yang layak melalui saringan ketat membuktikan sepak takraw bukan lagi dianggap sukan serantau semata-mata.

“Sebaliknya, ia kini diiktiraf sebagai sukan kompetitif yang memerlukan tahap atletisme tinggi, taktikal kompleks dan disiplin luar biasa,” katanya lagi.

Tambah beliau, negara seperti Jepun, Korea Selatan dan India berjaya mencuri perhatian apabila mempamerkan corak permainan berkualiti tinggi sepanjang kejohanan.

“Pencapaian India mara ke final acara kuadran sebelum tewas 0-2 kepada Malaysia menjadi bukti kebangkitan kuasa baharu dalam sukan itu.

“Pasukan India memberikan tentangan sengit menerusi rejaman kencang dan pertahanan mantap sehingga mengejutkan ribuan penyokong di Stadium Titiwangsa,” katanya lagi.

Beliau berkata, Jepun dan Korea Selatan pula menampilkan disiplin permainan tinggi serta variasi taktikal moden yang menunjukkan perkembangan pesat sepak takraw di Asia Timur dan Asia Selatan.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kejohanan di Kuala Lumpur itu sebagai asas penting ke arah merealisasikan impian melihat sepak takraw dipertandingkan di pentas Olimpik pada masa depan.

“Transformasi daripada aspek penajaan profesional, sokongan peminat serta peningkatan mutu permainan negara bukan tradisi membuktikan sepak takraw kini benar-benar sudah mendapat tempat di mata dunia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button