PSM tukar nama rasmi kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia
KUALA LUMPUR – Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini dikenali secara rasmi sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia selepas menerima kelulusan pertukaran nama daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, keputusan itu dibuat hasil persetujuan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 25 Mei lalu.
“Pihak PSM ingin memaklumkan bahawa pertukaran nama ini telah diluluskan oleh ROS pada 24 Jun 2024.
“Justeru itu, PSM kini dikenali sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia dalam semua urusan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, perubahan nama ini tidak menjejaskan struktur pentadbiran mahupun arah tuju pembangunan sukan sepaktakraw di Malaysia, malah ia dilakukan bagi menyeragamkan nama dengan persekutuan sukan lain di negara ini.
“Pertukaran nama ini adalah selaras dengan pendekatan transformasi dan penjenamaan semula organisasi demi memperkukuhkan imej badan induk sepaktakraw negara,” katanya lagi.
Tambahnya, PSM juga berterima kasih kepada semua pihak termasuk ahli gabungan, pemain, jurulatih dan peminat yang terus menyokong usaha pemerkasaan sukan sepak takraw.
Sebelum ini, PSM kembali diterima sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) pada 2023 selepas digantung keahliannya sebelum itu dan kini aktif menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








