Pelanggan beralih pelan lebih murah, keuntungan bersih Astro merosot
KUALA LUMPUR – Prestasi kewangan Astro Malaysia Holdings Bhd menunjukkan kemerosotan apabila keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 susut kepada RM63.13 juta berbanding RM129.15 juta pada tahun sebelumnya.
Perolehan hasil kumpulan penyiaran itu turut menurun kepada RM2.79 bilion daripada RM3.08 bilion, didorong oleh penyusutan pendapatan daripada langganan, pengiklanan, sewaan serta jualan hak pemprograman, menurut makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2026, Astro mencatat peningkatan keuntungan bersih kepada RM24.07 juta berbanding RM10.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Namun, hasil suku tersebut merosot sebanyak 7.0 peratus kepada RM712.9 juta daripada RM766.4 juta, disebabkan pendapatan langganan dan pengiklanan yang lebih rendah.
Dalam pada itu, jumlah aset kumpulan juga menyusut kepada RM4.97 bilion setakat 31 Januari 2026 berbanding RM5.48 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak RM509.9 juta atau 9.3 peratus.
Mengulas perkembangan itu, firma penyelidikan TA Securities menyatakan penstrukturan semula Astro di bawah pelan Astro One gagal meningkatkan langganan seperti dijangkakan.
Penganalisisnya, Joram Isac S Ooi berkata, strategi tersebut sebaliknya mencetuskan kanibalisasi apabila pelanggan beralih kepada pelan lebih murah, sekali gus menjejaskan jumlah pelanggan dan menurunkan ARPU (hasil purata setiap pengguna).
Beliau menambah, walaupun pihak pengurusan menjangkakan ARPU akan stabil, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati berikutan kelemahan berterusan dalam asas pelanggan.
“Tekanan makroekonomi dan sentimen pengguna yang lemah berpotensi menjejaskan pertumbuhan serta memperlahankan kemajuan inisiatif transformasi Astro,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













