BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Jurutera rugi RM230,000 terpedaya skim pelaburan tidak wujud

KUANTAN – Seorang jurutera berusia 67 tahun di Jerantut kerugian sebanyak RM230,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa menerima mesej pada 14 Julai lalu yang menawarkan peluang pelaburan dalam Bursa Saham melalui syarikat yang dikenali sebagai ‘Elite Group’.

“Mangsa dijanjikan pulangan mencecah RM150,000 sekiranya melabur sebanyak RM50,000 dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa kemudian melakukan sembilan transaksi pembayaran ke empat akaun bank berbeza antara 16 hingga 31 Julai, melibatkan jumlah keseluruhan RM230,000 dengan menggunakan wang simpanan sendiri.

Namun selepas bayaran dibuat, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan atas alasan kononnya berlaku masalah ketika pemprosesan pelaburan.

“Mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu dan tampil membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelas Yahaya.

Susulan kes itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat terutamanya yang dipromosikan melalui media sosial.

“Semakan awal boleh dilakukan di portal rasmi https://semakmule.mp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang pernah terlibat dalam aktiviti penipuan,” katanya.

Orang ramai yang mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan juga digesa segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button