BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis serbu banglo mewah, dadah RM37.3 juta dirampas

KUALA LUMPUR – Polis membongkar kegiatan pemprosesan dan penyimpanan dadah bernilai RM37.3 juta apabila menyerbu sebuah banglo di kawasan perumahan elit di Ipoh, Perak, minggu lalu.

Dalam serbuan pada 16 Jan, dua individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan. Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama polis Perak.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis merampas 843.3 kilogram methamphetamine selain cecair dan serbuk disyaki bahan kimia dengan anggaran berat 679.22 kilogram, termasuk pelbagai peralatan memproses dadah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan tempat letak kereta banglo berkenaan turut menemukan 618.24 kilogram bahan yang telah diproses menjadi ketulan simen.

“Hasil analisis mendapati bahan tersebut mengandungi dadah jenis MDMA,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, lapor Bernama.

Hussein berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Disember 2024 dan didalangi warga asing. Semua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kesemua suspek direman sehingga 29 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button