BERITA SEMASADALAM NEGERI

Terengganu terima RM4 bilion wang ehsan, Kelantan hampir RM1 bilion – PM

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebanyak RM4 bilion wang ehsan telah diagihkan kepada Terengganu, manakala Kelantan menerima sebanyak RM967 juta dalam tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu bertujuan membiayai pelbagai projek dan program pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di kedua-dua negeri Pantai Timur tersebut.

“Dana ini disalurkan bagi menampung keperluan bayaran emolumen kerajaan negeri, pelaksanaan projek pembasmian kemiskinan, menaik taraf infrastruktur, serta melunaskan komitmen kewangan kerajaan negeri masing-masing,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai status pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu.

Anwar turut menegaskan bahawa wang ehsan itu diagihkan walaupun tiada petroleum “didapati dan diperoleh” secara langsung daripada kawasan perairan atau daratan di kedua-dua negeri berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Persekutuan terbuka untuk mempertimbangkan cadangan daripada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu berkenaan program atau projek yang sesuai dibiayai melalui dana tersebut, khususnya dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan dan menambah baik kemudahan asas.

Terdahulu, pada Mac tahun lalu, Perdana Menteri memaklumkan peruntukan pembangunan untuk Terengganu pada tahun 2023 mencecah RM1.55 bilion, berbanding royalti petroleum yang hanya berjumlah RM786 juta bagi tahun yang sama.

“Perbelanjaan pembangunan untuk Terengganu terus meningkat kepada RM1.59 bilion pada tahun ini,” katanya sambil menjelaskan jumlah royalti petroleum yang diterima negeri itu meningkat sepanjang pentadbirannya menerajui Kerajaan Persekutuan, iaitu hanya RM399 juta pada tahun 2022.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button