PM arah laporan kemajuan projek kerajaan dihantar setiap bulan
PUTRAJAYA – Semua ketua jabatan dan agensi kerajaan perlu mengemukakan laporan bulanan berhubung kemajuan serta sumbangan penjawat awam dalam melaksanakan setiap projek kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, laporan tersebut perlu dihantar menerusi Ketua Pengarah (KP) atau Ketua Setiausaha (KSU) kementerian kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) seterusnya dimaklumkan kepada beliau.
“Bila ketua-ketua jabatan, KSU jumpa dalam perbincangan, mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa Kabinet, semua akan memberi cadangan tambah projek, ya memang dibolehkan.
“Tetapi ada keadah baharu yang kita hendak perkenalkan, mesti ada laporan bulanan apa yang dilakukan, apakah sumbangan saudara-saudara dalam usaha untuk melaksanakan projek itu.
“Laporan bulanan ini harus dihantar melalui KP atau KSU kepada KSN dan juga untuk makluman saya supaya ada pendekatan yang agak berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, laporan yang dikemukakan tersebut perlu mengandungi kemajuan projek yang jelas dalam memastikan Malaysia menjadi negara Madani.
“Saya harap hal ini dapat dilakukan bersama dengan usaha perubahan semua, dalam Jemaah Menteri.
“Kita tidak meneruskan dengan cara rundingan terus untuk mengelakkan kecelaruan salah guna, hal-hal ini sangat ditekankan, kemudian di setiap kementerian harus ada pendekatan yang lebih berani,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








