Dua maut, lima cedera dalam insiden tembakan di festival makanan Seattle
SEATTLE – Dua individu terbunuh manakala lima lagi cedera selepas satu insiden tembakan berlaku di Seattle Center ketika berlangsungnya Bite of Seattle, antara festival makanan terbesar di bandar itu, hari ini.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) berhampiran Fisher Pavilion, hanya kira-kira satu blok dari mercu tanda terkenal Space Needle, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan ribuan pengunjung yang menghadiri festival tersebut.
Menurut Jabatan Bomba Seattle, anggota paramedik telah berusaha menyelamatkan dua mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat tembakan, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Lima lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Mereka terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang wanita berusia 39 tahun yang dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” lapor ABC News.
Sementara itu, seorang lagi wanita berusia 56 tahun mengalami kecederaan serius, manakala Pusat Perubatan Harborview memaklumkan seorang lagi mangsa sedang menjalani pembedahan dalam keadaan kritikal.
Kesemua mangsa mengalami kecederaan akibat tembakan.
Susulan kejadian itu, polis mengarahkan kawasan festival dikosongkan serta-merta, manakala ratusan pengunjung berlindung di bangunan Armory sebelum dibenarkan meninggalkan kawasan berkenaan.
Perkhidmatan monorel Seattle turut dihentikan sebagai langkah keselamatan.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan pihaknya dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam siasatan.
Sebuah media tempatan melaporkan dua individu telah ditahan, namun Polis Seattle setakat ini belum mengesahkan sebarang tangkapan atau mendedahkan identiti suspek.
Terdahulu, beberapa laporan turut menyatakan penembak dipercayai masih bebas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















