Tiger Shroff terselamat dalam insiden tembakan di Mumbai
MUMBAI – Pelakon Bollywood, Tiger Shroff terselamat dalam insiden tembakan di Mumbai semalam dengan polis mengesahkan bintang berusia 36 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat terkena peluru.
Kejadian berlaku pada petang Ahad ketika kenderaan dinaiki pelakon itu meninggalkan sebuah kelab bola sepak di kawasan Juhu.
Beberapa portal berita tempatan menyiarkan video yang memaparkan sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta yang bergerak perlahan melepasi orang ramai.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan tokoh terkenal di India, susulan beberapa serangan bersasar terhadap individu berprofil tinggi yang mengakibatkan kematian dan kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Menteri Maharashtra, Eknath Shinde berkata, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan mengugut atau menakut-nakutkan orang ramai menerusi keganasan.
“Cubaan untuk menakut-nakutkan orang seperti ini tidak akan ditoleransi dan kami akan menamatkan tindakan samseng ini,” katanya memetik laporan BBC News.
Shinde melawat Shroff selepas kejadian pada Ahad malam dan memaklumkan bahawa pelakon itu serta ibunya mengalami kejutan susulan serangan berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, dua individu cedera dalam insiden itu, termasuk pemandu Shroff.
Serangan berkenaan menambah senarai insiden keganasan yang menyasarkan tokoh terkenal di India dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2024, polis India menahan dua anggota kumpulan jenayah berhubung serangan menggunakan senjata api yang menyasarkan kediaman pelakon Bollywood, Salman Khan.
Pada tahun sama, ahli politik berpengaruh India, Baba Siddique, ditembak mati di Mumbai.
Shroff anak kepada pasangan pelakon Jackie Shroff dan Ayesha Dutt memulakan kerjaya lakonannya menerusi filem romantik Heropanti pada 2014 sebelum membintangi beberapa filem lain.
Selain bidang lakonan, beliau turut meminati bola sepak dan bermain untuk kelab bola sepak profesional Mumbai FC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








