BERITA SEMASALUAR NEGARA

Empat maut dalam insiden tembakan, bakar gereja di Michigan

GRAND BLANC TOWNSHIP – Sekurang-kurangnya empat terbunuh manakala lapan lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah gereja Church of Jesus Christ of Latter-day Saints ketika upacara ibadat semalam sebelum bertindak membakar bangunan berkenaan.

Ketua Polis Grand Blanc Township, William Renye berkata, kejadian berlaku apabila suspek merempuh pintu utama gereja itu dengan sebuah trak pikap empat pintu yang dihiasi dua bendera Amerika Syarikat, sebelum keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah jemaah.

“Suspek dipercayai bertindak sengaja membakar bangunan tersebut,” katanya pada sidang akhbar.

Pihak polis menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi dalam tempoh 30 saat.

Suspek berjaya ditembak mati kira-kira lapan minit kemudian selepas berbalas tembakan dengan dua anggota polis.

Renye mengenal pasti suspek sebagai Thomas Jacob Sanford, 40, dari kawasan berhampiran Burton.
Bagaimanapun, motif serangan masih belum diketahui.

Kebakaran besar tercetus selepas insiden itu dengan asap tebal dan api marak dari bangunan gereja selama beberapa jam sebelum berjaya dipadamkan.

Menurut Renye, dua mayat mangsa ditemukan ketika pasukan penyelamat memeriksa runtuhan bangunan.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan menemui lebih ramai mangsa ketika proses mencari diteruskan.

Seorang daripada mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal, manakala tujuh lagi berada dalam keadaan stabil.

Polis turut mengepung kawasan berhampiran kediaman suspek di Burton untuk siasatan lanjut.

Kejadian ini menambah kepada senarai panjang serangan bersenjata di rumah ibadat di Amerika Syarikat sejak dua dekad lalu, termasuk insiden di Minneapolis pada Ogos lalu yang mengorbankan dua kanak-kanak.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button